Assalamualaikum w.b.t,
Sempena Hari Malaysia (ke-46)
pada hari ini, saya terasa terpanggil untuk membaca artikel2 berkaitan Hari Malaysia 16 September...Pihak kerajaan malaysia telah mengisytiharkan cuti umum kepada semua negeri bagi mengingati ttg pertubuhan Hari Malaysia dan menunjukkan betapa serius pihak kerajaan untuk menghargai Hari Malaysia, jadi apa kata kita 'spend' masa terluang bercuti ni untuk mengetahui serba sedikit sejarah berkaitan hari tersebut...
Jom kite luangkan masa sebentar..sekejap aje...
Mari Membaca....
Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Membawa Perubahan Kepada Negara
TARIKH 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.
Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei 1961 lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.
Dalam ucapan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia.Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”
Selepas cadangan tersebut disuarakan oleh Tunku, pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat mereka hinggakan penubuhan Malaysia tersebut menjadi topik perbincangan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Ramai pihak yang menyokong cadangan tersebut khususnya pemimpin-pemimpin rakyat dalam negeri-negeri Singapura, Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut akan dapat membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.
Lanjutan dari cadangan penubuhan gagasan Malaysia ini, Tunku Abdul Rahman telah mengambil tindakan dengan mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri British di London. Hasilnya, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi memastikan rancangan tersebut berjaya dan mendapat persetujuan semua pihak.Suruhanjaya tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan diwakili oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.
Tujuan utama suruhanjaya tersebut dibentuk adalah untuk menyiasat pendapat dan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan gagasan Malaysia ini. Usaha untuk menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah satu gagasan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari para penduduk di Sabah dan Sarawak sendiri.
Menurut Penyata Tahunan Perhimpunan Agung UMNO 1963/64, pada 23 Ogos 1961, persetujuan telah dicapai di antara kerajaan Singapura dan Tanah Melayu yang meletakkan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa autonomi dalam lapangan pelajaran dan buruh sahaja dengan persetujuan sebuah jawatankuasa antara Kerajaan Singapura dan Tanah Melayu.
Namun begitu, usaha murni untuk menuju kepada penubuhan sebuah negara baru Malaysia terhalang apabila berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei pada 8 Disember 1962. Ini diikuti dengan pengisytiharan konfrantasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno sebagai tentangan terhadap gagasan Malaysia.
Manakala di Manila pula, terdapat tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia adalah milik keturunan Sultan Solo yang telah membuat perjanjian dengan Kerajaan British pada tahun 1878. Perselisihan pendapat dan pertikaian ini telah berlarutan dan semakin meruncing hingga memecahbelahkan keamanan yang ada di Asia Tenggara.
Konfrantasi yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno juga telah berterusan selama tiga tahun hingga mengakibatkan berlaku pertumpahan darah dan memaksa kepada campur tangan tentera. Penubuhan Malaysia menerima tentangan keras dari Indonesia di bawah Presiden slogan “Ganyang Malaysia”. Misalnya dapat dilihat dalam pertempuran di antara Tentera Darat dengan angkatan rejim Sukarno di satu Pos Sementara tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah.
Serangan yang berlaku pada waktu maghrib ini telah mengorbankan seramai tujuh orang dan mencederakan 16 orang yang lain. Begitu juga dengan serangan yang berlangsung di Pontian, Labis, Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Tentangan ke atas penubuhan Malaysia mengakibatkan pertempuran yang hebat antara tentera kedua-dua negara. Bagi menyelesaikan masalah berikut dan memulihkan keamanan di rantau Asia Tenggara, maka suatu persidangan kemuncak telah diadakan antara ketua-ketua tiga negara yang terlibat dalam pertikaian iaitu Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina.
Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun mendapat tentangan dalam bentuk ketenteraan dari negara lain. Dalam persidangan kemuncak di Manila yang berlangsung pada akhir bulan Julai 1963, tolak ansur telah berlaku antara negara-negara terbabit dan tarikh pengisytiharan negara baru Malaysia akan diumumkan selepas Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu berpuas hati dengan kehendak rakyat dari wilayah Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, Brunei tidak turut sama dalam pembentukan Malaysia kerana gagal mencapai persetujuan mengenai negerinya.
Walaupun pembentukan Malaysia telah mendapat persetujuan PBB, tetapi Indonesia seakan berusaha untuk menggagalkan rancangan tersebut malah sengaja melewatkan ketibaan wakilnya sebagai pemerhati kerja-kerja rombongan PBB ke Sabah dan Sarawak. Akhirnya PBB telah bersetuju mengeluarkan laporannya mengakui 80 peratus dari rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman.
Tentangan dari Indonesia tidak habis di situ sahaja sebaliknya melancarkan kembali konfrontasinya dengan menarik kembali Duta Besarnya di Malaysia serta mengugut nyawa rakyat Malaysia yang ada di Indonesia. Filipina turut bertindak keras apabila cuba menurunkan taraf kedutaannya di Malaysia menjadi konsul sahaja. Akibat tindakan tersebut, maka Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan tegas dengan memutuskan hubungan diplomatic dengan Indonesia dan Filipina dua hari selepas kelahiran negara Malaysia dilancarkan.
Konfrantasi ini berlanjutan hingga perjanjian damai dimeterai pada Ogos 1966. Perjanjian penubuhan Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dan diisytiharkan secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman.
Pengisytiharan Malaysia dilakukan di Stadium Merdeka di hadapan DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak dengan disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia. Kini, setelah 46 tahun Malaysia ditubuhkan, pelbagai kemajuan dapat dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik dan sosial malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit juga telah pulih.
Seharusnya, keharmonian dan kesejahteraan yang di kecapi sejak sekian lama wajar dipelihara dan dikekalkan agar dapat terus di kecapi oleh generasi akan datang.
(Syukur Alhamdulillah)
sebagai generasi muda, kita patut bersyukur dilahirkan dalam negara yang telah sedia aman dan sejahtera. Jangan dilupakan tentang generasi terdahulu yang penuh keperitan memperjuangkan keamanan negara ini. Melalui kesedaran sejarah, generasi muda mampu menghayati nilai sebenar sejarah dan menghargainya.
note utk sy::
Hari Malaysia 16 September 2011 ke - 46
Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2011 ke - 54
TQ
<3 LuveAyunie <3